Identitas
Buku
Judul :
Ada Apa Dengan Buku
Penulis : Shaharom TM Sulaiman
& Suriati Shamsuddin
Penerbit : Utusan Publications
& Distributors Sdn Bhd
Cetakan: Pertama, 2004
Ketebalan :
301 Halaman
ISBN : 97896761161
Resensi Ada Apa Dengan Buku?
Judul
buku Ada Apa Dengan Buku ialah karangan Tuan Shaharom TM Sulaiman dan
gandingan penulis wanita yang serba mantap dalam menukang takah-takah ideanya
iaitu Puan Suriati Shamsuddin. Tuan Shaharom ialah penulis buku yang sangat
dikenali ramai kerana sering menerbitkan karya-karya yang bertemakan bibliofil.
Seluruh karya beliau menjadi buruan dalam kalangan penggemar buku baik karya
beliau yang lepas mahupun terkini.
Perkataan
buku yang tertera di hadapan kulit buku ini telah mencuri perhatian pembaca
termasuklah saya. Lantas, membawa pembaca membayangkan apakah motif ataupun
matlamat penulis yang setulusnya ingin dipersembahkan kepada khalayak ramai.
Siri kali ini membicarakan mengenai kepentingan karya-karya para penulis yang
terdapat di seantero dunia. Bagaimana ia mampu memainkan peranan besar dalam
menggilap potensi penulis buku, industri buku dan apa saja yang berkaitan dunia
perbukuan. Bagaimana sesebuah karya itu muncul dibahaskan lebih meluas
disebabkan adanya faktor-faktor pergolakan dan peristiwa yang berkaitan.
Uniknya, kerana makhluk bernama buku ini juga ia tetap dicari kendatipun dalam
medan pertempuran yang sengit.
Jujur
sekali, karya duet penulis ini amat mendalam dan padat menghuraikan pernyataan
berkaitan sesebuah buku meskipun karya ini telah berumur lebih 10 tahun. Buku
ini mengandungi tujuh bahagian penting dalam membedah keseluruhannya baik
kepada tokohnya, zamannya, manusianya dan gagasannya. Penulis menyedarkan kita
tentang maslahat dan kebaikan sebuah buku yang mana ia mampu meleraikan segala
kekusutan dan kekeliruan. Membangunkan sebuah peradaban, memperkasakan jati
diri dan mempertingkat daya intelektual.
Buku
menjadi tempat bersandar dan ditemukan rambu-rambu ketenangan jiwa dan raga.
Malar segar sepanjang zaman kerana ada tarikan yang tersembunyi dan membolehkan
karya-karya tersebut bertahan lama. Selain daripada itu, kehebatan sebuah buku
semakin terserlah apabila tercetusnya fenomena politik yang sedang membara.
Secara tidak langsung, ia telah memberi laluan kepada para wartawan atau siapa
saja misalnya menghasilkan karya berkaitan peristiwa tersebut yang tidak akan
mudah lenyap dalam sejarah.
Tamsilannya,
penulis menyuguhkan kisah Samantha Power, seorang wanita kelahiran Ireland yang
menetap di Bosnia. Beliau menyaksikan kemusnahan dan pembantaian yang berlaku
serta menindas hak asasi manusia yang tidak terbela. Samantha turun padang dan
membuat laporan berkaitan isu-isu semasa yang gempak sehingga menyebabkan dia
menghasilkan karya berjudul A Problem Of Hell.
Melalui
kisah Samantha ini terbukti bahawa perkembangan sebuah buku telah berhasil
menggugah dunia hanya berdasarkan hal-hal ataupun kejadian yang berlaku di
persekitaran. Penulis juga mendedahkan tentang isu pendidikan di Malaysia mampu
berkembang lebih jauh apabila wujudnya para pensyarah yang semakin aktif
membukukan karya-karya yang ada membangkitkan hal-hal berkaitan pendidikan.
Contohnya, Razuan Abdul Kadir, Dekan fakulti Bahasa (UPSI) meneruskan
langkahnya sebagai penulis dengan cara melahirkan buku berjudul Pemikiran Tentang
Pendidikan Sepanjang Tiga Dasawara (1970-2000): Ke Mana Arah Tujunya?.
Karangan
Tuan Shaharom dan Puan Suriati ini turut disegarkan dengan adanya perkongsian
mengenai tokoh-tokoh politik seperti Tun Mahathir. Zaman Tun M yang pernah
memegang tampuk kekuasaan negara dahulu, dilihat sangat mengesankan apabila
beliau begitu dihormati kerana kepimpinannya sebagai tokoh pemikir yang
dicemburui.
Maka,
tidak hairanlah banyak karya bermutu berkaitan biografi Tun Mahathir
diterbitkan untuk mengenang jasa beliau kepada Malaysia sejak dahulu. Inilah
kuasa buku tetap menghidupkan tokoh-tokoh kenamaan. Karya ini membuat mata
buntang membaca bermacam kajian sejarah daripada para penulis yang kritis.
Sesekali, ia telah menyebabkan otak ligat berfikir kerana ketangkasan penulis
yang ke hadapan dalam mengulas buku-buku yang ada dinyatakan dalam karya ini.
Sebagai
penutup, jika anda meminati sejarah dan boleh menghadam serta mengingat setiap
fakta yang diutarakan oleh para penulis, maka karya ini cukup ideal dan sesuai untuk
anda memahaminya. Buku
ini memuatkan pemerkasaan buku yang memberi impak di seluruh dunia. Membawa
kita sebagai pembaca menguak rahsia di sebalik buku melalui penjelajahan dan
tinta penulis ke alam buku yang memiliki daya pikatnya. Anda patut membacanya. Kata para penulis, “Jika diperhalusi,
daya tarik yang mendalam daripada sesebuah buku hebat tidak terlepas daripada
tiga perkara penting, yaitu
menggerakkan fikiran dan jiwa, mengilhami atau merangsang inovasi baru dan
menggerakkan perbuatan.”
Selamat
membaca dan selamat menikmati momen-momen sejarah.
Tentang Penulis
Nama
penuh Suriati Munal atau lebih dikenali dengan nama pena Syuhara Suriati.
Dilahirkan pada 27 Oktober 1993 dan berasal dari Sabah,
Malaysia. Ia merupakan penulis
antologi, anekdot, artikel, puisi dan resensi buku. Sudah menerbitkan 11 buah
buku termasuk 2 buku solonya. Penulis muda ini juga pernah menulis 3 buku
antologi bersama penerbit Rumedia dari Indonesia. Penulis boleh dikenali di
laman facebook Syuhara Suriati.