IBU ADALAH BULAN
Jeritan ibu
membawa
aku
menjadi manusia
baharu
bulan mengubah
waktu
saat aku tidur
diperut gebu
menyusukan
seputing rindu
Ketika hujan
berkarya
susuk bibir
mulia berlaga
lindung aku bawa
syurga
senyuman ratunya
berharga
pemilik indah
tak terhingga
buaian tangan
terus terjaga
Ketika ibu
adalah bulan
sinari jalan
nasihat tujuan
tabah berbagi
kisah pedoman
kerana ibu
tempat pelukan
jika takdir
pemisah jalinan
pohon doa
kiriman Tuhan
Andai ibu
menjadi cermin
aku akan menjadi
pelamin
ajaran didikan
iman terjamin
dari kuasa
selembut sentuhan
kirimkan aku
sebuah idaman
wajah firdausi
pencipta taman
Taman Mutiara,
Labuan, Malaysia
ROTAN
(Sempena Hari
Guru 2021)
Cuma sebatang
rotan
seperti senjata
sultan
dijentik bukan
paksaan
Gigit luar kulit
ubat dalam cubit
hukum untuk
bangkit
Jual ada harga
ibu ayah bangga
anak guna tangga
Amanah dari
Tuhan
andai jutaan
aduan
tetap ada
ganjaran
Taman Mutiara,
Labuan, Malaysia
BULAN MEMUNTAHKAN DARAHNYA
Bulan mengetuk
ke langit
hadir membawa
berita pahit
menangis
disebalik arora bukit
lidah sujud lalu
bangkit
mencari niat
jauhkan penyakit
di saat ada
murkah dan sakit
doa zikir sejuta
bait
melihat
manik-manik menjerit
bercahaya di
lautan bisik
sempatkah lagi
bulan menjahit
serpihan hidup
pulang ke rakit
Taman Mutiara,
Labuan, Malaysia
DIAM YANG SAKIT MENCARI TUHAN
Darah mengalir
sepohon nadi hidup
gugur dedaun
sayembara redup
terjemahan
kesakitan kian cukup
untuk membawa
hati angin gugup
Kesepian bukan
sempurna di mata
tangis berteman
dinding gempita
menutup
jalan-jalan syurga pelita
retak kota
mahligai sang cinta
Di kala sesuap
kehidupan terhenti
tiada lagi
kekuatan untuk diganti
adakah semua
sudah tidak bererti
tanpa langkah
baharu seruan bakti
Usia di jendela
kenangan
mengibar
mimpi-mimpi angan
kembali bertunas
kepada Tuhan
ujian dan rahmat
mengubah senyuman
Taman Mutiara,
Labuan, Malaysia
TAMAN BUAIAN YANG TERSENYUM
MEMBAWA ANGIN RINDU BERNAMA
MAMA
(ulang tahun
kelahiran Ibuku)
Lampu mula
menyalakan kuasa
dalam dinding
putih mula berdoa
menahan sengsara
seorang wanita
aku menangis di
kain muda
di sambut oleh
tuhan kedua
Berpinar wajah
seraut cinta
di alas lengan
terbuai mesra
sembilan bulan
berkongsi rasa
lahirku tetap
berjiwa manusia
segala kesulitan
tiada terasa
Hari ini lahirmu
bernama mama
tujuh puluh
tahun menanam cita
mata hatimu
terus membara
dewasa kami dan
aku bersama
membibit
senyuman dan juga bahagia
Kotakan apa lagi
yang belum dibina
untuk membuka
pelabuhan syurga
sesekali
maniskan dengan tinta kata
hingga terasa
dan teristimewa
kerana mama
adalah kunci cahaya
Taman Mutiara,
Labuan, Malaysia
Tentang Penyair
Gabriel Kimjuan penyair kelahiran
tahun 1988. Dia adalah seorang penyair muda Persatuan Penulis Wilayah
Persekutuan Labuan (PERWILA). Karyanya pernah tersiar di Utusan Borneo, New Sabah Times, Harian Ekspres, Sinar Harian, Mingguan
Malaysia, Utusan Malaysia, Berita Harian dan Selangor Kini. Malah, karyanya juga pernah tersiar di majalah Wanita, Wadah, Tunas Cipta, Dewan Budaya,
dan di corong radio Malaysia, Labuan FM. Dia aktif berkarya di laman sosial
facebook. Dia mempunyai 65 buah buku antologi bersama. Gabriel Kimjuan pernah
menerima Anugerah Penulis Muda PERWILA tahun 2015; dan Pemenang ASEAN E-WRITER
AWARD oleh E-Sastera Malaysia tahun 2016. Dia mempunyai dua buah kumpulan puisi
antaranya Benang Merah (2015) dan Bilik Istimewa (2017). Tahun 2019 dia
menerbitkan sebuah buku baru kumpulan puisi ketiga, Sajak Bekerja.