Islam Kata Isteri Bukan Bibik
Nama buku: Islam Kata Isteri Bukan Bibik
Penulis: Ahmad Sarwat
Muka surat: 206
Penerbit: Puteh Press
Tahun terbit: 2021
Cetakan: Pertama
ISBN: 9-789673-695409
Pengulas: Syuhara Suriati
Islam mengangkat martabat wanita dengan menjadikan mereka sebagai
kaum yang sangat mulia dan dihormati oleh seluruh masyarakat. Justru itu,
kedudukan seorang isteri dan ibu perlu dilayan sebaik mungkin oleh golongan
lelaki ataupun suami. Bukan dikasari, dibiarkan membanting tenaga menjalankan
semua pekerjaan tanpa ada pertolongan dan belas kasihan.
Adat kian mendidik kepada semua wanita untuk menyediakan,
menyiapkan makanan, merapikan pakaian dan memenuhi kehendak syahwat suami pada
bila-bila masa sahaja. Bahkan jika kita melihat dari segi konteks agama Islam
itu sendiri telah mewajibkan kepada wanita untuk menjadi sebaik-sebaik isteri
yang solehah. Senantiasa menyenangkan apabila dipandang serta mengerjakan
perintah suami tanpa ada bantahan.
Walau bagaimana pun, buku ini membawa satu kelainan besar karena
mendedahkan kepada kita mengenai tanggungjawab sebenar seorang isteri
berdasarkan kumpulan hujah penulis dan amat penting untuk dinilai kembali
kebenarannya.
Sungguh, tajuk buku yang tertera di hadapan ini telah memukau
pembaca untuk mengambil gambaran serba sedikit betapa sesungguhnya isteri
bukanlah bibik ataupun tukang gaji. Tidak dinafikan bahawa ada sesetengah pihak
yang menjadikan isteri-isterinya seperti hamba suruhan yang perlu melaksanakan
semua tugasan. Sebaliknya, ada yang memahami arti tanggungjawab yang
sememangnya wajib dipikul oleh suami bukanlah si isteri.
Buku ini mengandungi 12 bab yang mana keseluruhannya membincangkan
mengenai perihal seorang isteri termasuklah dari segi makna bibik, pendapat
ulama salaf, kewajipan suami isteri, mahar, nafkah dan syarat memperolehinya,
jimak, hukum menyusukan anak, hukum wanita bekerja di luar rumah dan masalah
waris suami isteri.
Fokus utama dalam buku ini adalah untuk menjelaskan lebih detil dan
menggali da lil yang terdapat dalam kitab-kitab fiqh yang menyebutkan bahawa
tugas membasuh pakaian, memasak, membersihkan kerja-kerja rumah dan menguruskan
anak-anak pada asalnya adalah kewajipan suami bukanlah isteri.
Bermakna, tugas dalam rumah tangga sebenarnya terletak pada bahu
seorang suami dan bukanlah isteri.
Antara salah satu pendapat mazhab As-Syafi’iyah dalam kitab
Al-Muhazzab oleh Imam As-Syirazi pada halaman 15 buku ini yang menyokong hal
sedemikian ialah,
“Seorang isteri tidak wajib berkhidmat seperti membuat roti, memasak,
mencuci dan berbagai lagi bentuk khidmat yang lain. Ini kerana, apa yang
ditetapkan (dalam pernikahan) adalah istimta’ (kewajiban untuk memberi layanan
seksual). Maka, sebarang bentuk layanan yang lain adalah tidak termasuk dalam
kewajipan mereka.”
Ayat ini jelas menunjukkan bahawa kewajipan seorang isteri hanyalah
memenuhi kemahuan seksual suami bukan pada perkara-perkara yang lain.
Kebanyakan rakyat di negara Malaysia pengamal tegar dalam mazhab
As-Syafi’iyah. Wajar sekiranya, umat Islam dalam negara ini menggeledah hak-hak
seorang isteri dan suami bagi menjauhi penindasan ataupun kekerasan.
Secara ringkasnya, karya ini cukup lumayan untuk diketengahkan
kepada seluruh umat Islam khususnya bagi individu yang telah berumah tangga.
Hal ini disebabkan,
1.
Karya ini menerangkan kepada kita
tanggungjawab isteri yang sebenarnya di sisi Islam mengikut pendapat para ulama
salaf yang telah dinyatakan.
2.
Wujud perbedaan dalam kalangan ulama
kebelakangan yang tidak bersetuju seperti Dr. Yusuf al-Qaradawi, Syaikh
Al-Albani, Syaikh bin Bazz dan Syaikh Al-Uthaimin.
3.
Perlunya bagi
seorang suami mencari ilmu agar rumah tangga tidak dihuni oleh pertengkaran
kerana perselisihan tanggungjawab.
4.
Meskipun pekerjaan rumah bukanlah
tanggungjawab bagi seorang isteri, namun mengerjakannya adalah sunat dan isteri
yang reda diberikan ganjaran kerana membantu suaminya di rumah.
Kegagalan dalam memahami peranan masing-masing boleh mematahkan
tiang rumah tangga. Tambahan lagi, jika ilmu agama tidak didalami secara serius
boleh menyebabkan ramai pasangan yang bercerai berai kerana ego yang sukar
dilumpuhkan. Jadi, masukkan buku ini dalam senarai ‘wish list’ sebagai rujukan
ilmu kekeluargaan. Santunilah para isteri sebagaimana kita menyantuni ibu yang
membesarkan kita sedari kecil.
Memetik kesimpulan padu daripada penulis buku dari Indonesia ini
dalam halaman 9, kata Ustaz Ahmad Sarwat,
“Apabila kita rajin menelusuri kitab-kitab fiqah para ulama
daripada mazhab-mazhab besar, khususnya kitab-kitab fiqh yang muktamad
berdasarkan mazhab, sudah pasti kita akan berasa terkejut. Pendapat mereka
secara umumnya mengatakan, para wanita tidak wajib melakukan semua pekerjaan
atau urusan rumah tangga.”.
Tentang Penulis
Syuhara Suriati. Dilahirkan pada 27/10/1993. Berasal dari Sabah, Malaysia. Penulis
antologi, anekdot, artikel, puisi, majalah dan resensi buku. Sudah menerbitkan
15 buah buku termasuk 2 buku solonya. Penulis muda ini juga pernah menulis 3
buku antologi bersama penerbit Rumedia dari Indonesia. Penulis boleh dikenali
di laman facebook Syuhara Suriati.