MASA LALU
Mengubur masa lalu selalunya sukar disempurnakan; memang
buntu membaca riak hati orang, sedang benci atau rindu? Aku tidak mampu!
Di sana tercatat sejarah waktu kecilku.
Lucu bermain-main dengan kawan sebaya
jauh di balik masalah dan ujian. Ketika sunyi, aku melagukannya
tanpa sedar.
Tercetus juga ingin kembali ke tempat itu tapi tiada ruang memungkinkan
hanya terhapus lakaran peta di tangan pengembara pun hilang arah langkah
sungai-sungai terlupa mengalir ke hulu
selamanya tidak sah solat tanpa wudhuk
bahkan berdosa tegas ustaz di mimbar
Siapa pun ada masa lalu
memberi keinsafan dan pengajaran berguna
bagi yang tak mahu berfikir
pengalaman tidak pernah mendewasakannya
Melaka, Malaysia
29 Dis 2021
DI KEPALAKU ADA HAL KEMATIAN
Di kepalaku ada hal kematian
nescaya datang esok
pintu kita diketuk
pertikaian perbantahan hanyalah kehampaan
dilihat cuma kebijakan siapa sibuk memperelok amal
buat bekal
Tangan kaki kaku
tubuh seluruh membeku
hilang kata di lidah kelu
apa makna harta bergudang-gudang
berguna lagikah pangkat menjulang
apa lagi boleh dimegahkan?
Sebut saja kematian terdesak diri dekati-Mu
dengan gementar rasa
rindu di kalbu menggebu
Jasin, Melaka
2 Januari, 2022
PAGI DINANTIKAN DI PELABUHAN
Pagi dinantikan di pelabuhan
rindu melihat kejernihan embun genggami daun
dicium matahari terpantul sinar harapan terselit
di doa-doa seusai solat atau tidak
Udara seputar begitu segar dihirup bersama secawan kopi
mengepulkan aroma kenangan indah dari hari-hari luput
nasihat ibu seperti ubat menyembuhkan luka jika diikut
ke mana pun pergi di mana pun berada usah lupa Tuhan
senantiasa bersikap baik kepadamu sepanjang hayat
alangkah kurang ajarnya jika Dia terlompat dari hatimu
Pagi dinantikan di pelabuhan
tetap menampilkan kembang-kembang tersenyum gadis manis
jelmakan warna dan harum tersendiri tapi saling menghulur salam
begitu adat timur meniti zaman tetap tak terbujuk
peradaban bangsa tak hilang disapu angin
duka cita sekali apabila anak-anakku enggan berpegang kuat
membiarkan diri hanyut di arus kebobrokan budaya asing
hanya kicau sumbing burung-burung kehilangan rimba
Jasin, Melaka
3 Januari, 2o22
TAHUN BARU
Ketika aku sebahagian penduduk kota
besar
kelahiran tahun baru disambut
percikan bunga api
persembahan konsert kumandangkan
kegembiraan
lepas itu masing-masing menyandarkan
tidur pada keletihan
esok bangun tanpa rencana
persis pengembara kehilangan peta di
tangan
Lain halnya di ceruk desa
disambut dengan syukur atas
dipanjangkan usia
doa pun dilantunkan
terbekal kesihatan dan kekuatan
bagi menantang zaman
yang makin kasar
banyak cabar
Tahun baru
benar katamu peluang besar mengisi
usia
bagaimana akrabkan diri dengan Tuhan
kencang berlari memeluk manusia hebat
Selandar, Jasin
30 Disember, 2021
Tentang Penulis
MOHD. ADID AB. RAHMAN. Sekarang bermukim di Melaka dan
Mengajar di SMK Iskandar Shah, Jasin. Pernah menuntut ilmu di Universitas Islam
Negeri Banda Aceh dalam Jurusan Dakwah, dan Universiti Teknogi Malaysia (UTM)
Skudai Johor. Menulis sejak 1990-an
hingga sekarang, terutama puisi. Sudah
memiliki puluhan antologi bersama di antaranya: antologi C. Antagonis (ASWARA 2020), Munajat untuk Palestin (PPJ 2021), antologi ‘Belati Cinta Zulaikha’ (2003), ‘Kebentangkan Sehelai Peta’ (2014), menjadi teks Komponen sastera (KOMSAS)
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sejernih Embun (KS 2021), VIRUS (GAPADU 2021). Karyanya tersiar di
pelbagai media, antara lain: Majalah
Dewan Sastera, Mingguan Malaysia; majalah online seperti Lamanriau.com, Potret
Online com, sksp-literary.com, Sabah360 online. Sekarang menjadi ahli Ikatan
Persurat Melayu Melaka (IPM)