BONDA
aku mengutip jejakmu
dari langit matahari
dari hutan malam
menjadikan diri sendiri
semakin tua
lalu turut belajar —
dari
ejek camar
dari
hempas ombak
dari
cucuk kerikil
dari
kerasnya hidup.
terima kasih bonda
kerana aku tahu
kau terbaik untukku.
Kemaman, Terengganu
DI LIDAH ANGIN ( ii )
saat angin rebah di lautan
dedaun hanyalah boneka
pada ranting alam
sepi
sunyi
memeluk senja
menantikan esok.
moga masih ada
lidah angin
kembali hadir.
Kemaman, Terengganu
MALAM MENCARI SYURGA
masih adakah kupu-kupu malam
berkepak dalam suram cahaya
di situlah syurga dikucupnya
sebelum cahaya bertelanjang
dalam cermin diri.
sepasang kepak yang serupa
telah hilang ghairah
waktu telah mengarinya
pada segelas malam
sentiasa tumpah tak tersisa.
mimpi ke syurga —
seperti
kertas ringgit
tercetak
dalam dunia inflasi.
Kemaman, Terengganu
SENJA DI BALIK KACA
gincu merah di ufuk timur
memudar di kaki hari
titik siang menunduk diam
malam hadir tanpa purnama
kita simpan semuanya
saat kepedihan tumbuh
tanpa henti.
melihat dari kaca ini
kita hilang bersama senja.
Kemaman, Terengganu
SEPI ( ii )
senja berwajah suram
sepi berbalut dalam berbayang malam
angin mati di dinding hari
seluruh detik berhimpun.
bulan menangguhkan neon
saat sungai di bawahnya
terhiris waktu.
Kemaman, Terengganu
Tentang Penulis
ZULKIFLI BIN MOHAMED, dilahirkan di Mersing, Johor. Menetap dan berkerjaya sebagai Pegawai
Perkhidmatan Pendidikan (DG52) di sebuah sekolah menengah di Kemaman,
Terengganu. Lulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam pengkhususan Sejarah
Asia Tenggara, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Serta Diploma Pendidikan,
Institut Perguruan Darul Aman (IPDA). Ahli seumur hidup Ikatan Persuratan
Melayu (IPM). Juga ahli Persatuan Penulis Alam Maya Malaysia (JOM SASTERA).
Telah melibatkan diri dalam penulisan sajak menerusi karya eceran di majalah Al-Islam, Dewan Budaya, Dewan Masyarakat. Juga di akhbar Harian Ekspres, Berita Harian Ahad, Suara Sarawak dan Wilayah Ku.
Selain, karya dalam talian di Sabah360Online.Com dan PotretOnline.Com. Turut
terlibat dalam 40 buah antologi puisi. Antaranya ialah Antologi Masa Kecil (Cetakan Indonesia), Antologi Prahara Musim Duka, Antologi Suara Dari Suatu Musim dan Antologi KRI Nanggala 402. Turut menghasilkan dua
buah kumpulan puisi bertiga (tiga penulis dalam satu buku puisi) iaitu Kamar Tresna Figura Maya dan Cinta Adalah Sebuah Hamparan Cinta.
Boleh ikuti perkembangan penulis di Facebook Zulkifli Mohamed. Atau hubungi di
e-mel pondokpuisi@gmail.com